sukan

Jangan mudah koyak

Skuad Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk membaham pasukan lebih hebat jika barisan pemain mampu mengawal mentaliti mereka lebih baik termasuklah tidak cepat ‘koyak’ apabila berhadapan tekanan tinggi.

Menurut pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon barisan anak buahnya mempunyai corak permainan tidak jauh daripada pasukan yang berada di ranking lebih baik seperti Thailand dan Bahrain namun tetap kecundang apabila bertemu lawan itu.

“Kita pernah menentang pasukan yang lebih kuat sebelum ini dan perkara positifnya adalah kita bermula dengan baik dan berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu. Tetapi saya rasa pemain tidak yakin dengan diri sendiri selepas mendahului.

“Mereka seakan tidak selesa apabila terlebih dahulu di depan jadi mereka kena membiasakan diri dengan perkara itu. Jangan terkejut kerana apabila mereka terkejut, kita bergelut dan kehilangan bola sekali gus tewas.

“Faktor psikologi, mentaliti dan keyakinan ini seharusnya ada kerana pemain harus yakin pada diri sendiri. Kita berada pada tahap yang setara dengan pasukan lawan.

“Barisan pertahanan kita juga baik tetapi berdasarkan statistik, kita sentiasa melepaskan gol selepas minit ke-75 menentang pasukan yang kuat. Jadi pemain perlu fokus dan mengekalkan konsentrasi sehingga tamat permainan,” katanya.

Oleh itu Pan-gon menyifatkan dua aksi persahabatan membabitkan pasukan yang berada dalam kelompok 100 dunia iaitu Syria dan China ini sebagai kayu pengukur untuk melihat sejauh mana peningkatan mereka sehingga kini.

“Kita melakukan tugas yang baik sepanjang satu setengah tahun lalu apabila menang 16 daripada 21 perlawanan yang dihadapi tetapi kita jarang mendapat peluang berdepan pasukan yang kuat seperti Syria dan China.

sumber:- HM

“Jadi kami mahu melihat sejauh mana peningkatan boleh ditunjukkan barisan pemain dan jendela kali ini amat penting untuk persiapan bagi Kelayakan Piala Dunia pada November dan juga Piala Asia tahun depan,” katanya.