sukan

Arif Aiman sudah ditempah

Keputusan untuk meletakkan bintang sedang meningkat, Arif Aiman Hanapi dalam skuad senior sudah diputuskan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang melihat pemain itu lebih baik bersama skuad Harimau Malaya.

Itu penjelasan pengurus pasukan skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas pemain sayap lincah itu tidak disenaraikan dalam skuad Harimau Muda yang akan mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand bermula 6 September ini.

Sebaliknya, Arif Aiman menyertai skuad senior yang turut berada dalam rangka persiapan bagi dua aksi persahabatan menentang Syria dan China, masing-masing pada 6 dan 9 September di Chengdu, China.

“Barisan kejurulatihan skuad kebangsaan meneliti senarai pemain untuk diberikan kepada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Jadi keputusan sudah dibuat bahawa lebih baik Arif Aiman bersama skuad senior.

“Walaupun secara peribadinya, saya pun suka kalau Arif Aiman dan beberapa lagi pemain bersama kita dalam skuad B-23 tetapi saya juga harus mempertimbangkan keperluan skuad kebangsaan.

“Cuma kalau dilihat senarai pemain bagi kempen kelayakan ini, saya cukup gembira kerana kita ada pemain yang sama bagus dan mampu membentuk pasukan yang mantap,” kata Shahril.

Terdahulu, ketiadaan Arif Aiman dalam senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan pusat skuad B-23 yang bermula hari ini jelas mencetuskan persoalan.

Sepatutnya, barisan terbaik disenaraikan bagi menghadapi kejohanan penting itu, apatah lagi selepas skuad kendalian E Elavarasan gagal dalam dua kejohanan sebelum ini – Sukan SEA dan Piala AFF.

Perkara itu turut diakui legenda bolasepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menegaskan kehadiran pemain itu pasti dapat membantu memantapkan lagi skuad Harimau Muda dan ketiadaannya boleh dianggap sebagai satu kekurangan.

sumber:- BH

Jelasnya, pemain berusia 21 tahun itu perlu diberikan peluang untuk beraksi dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang menawarkan aksi kompetitif berbanding aksi persahabatan bersama Harimau Malaya yang lebih bersifat kepada ruang menguji pemain dan taktikal kejurulatihan.