sukan

Bacina akui terperanjat

KL City FC berjaya memperagakan corak permainan ‘matang’ seperti yang diinginkan pengendalinya, Nenad Bacina ketika membelasah Perak FC 4-0 di Stadium Perak, malam tadi.

Justeru, Bacina jelas gembira dengan kualiti persembahan yang ditunjukkan anak buahnya yang disifatkan memberikan persembahan yang menarik menentang pasukan lawan yang memiliki momentum terbaik daripada beberapa perlawanan terdahulu.

“Kita tidak jangkakan jumlah jaringan seperti ini tetapi setiap kali kita turun ke padang, kita turun dengan perancangan untuk menjaringkan gol dan tidak dibolosi. Kita berjaya mengawal rentak permainan.

“Kita tahu Perak gemar bermain secara agresif dan mereka menunjukkan corak permainan bola sepak moden. Kita bersabar menunggu peluang dan berjaya mendapatkan empat jaringan.

“Percubaan mereka terkena palang dua kali tetapi kita tenang dan mengikut perancangan seperti yang sudah diatur. Dalam setiap perlawanan, kita sentiasa jangkakan bahawa kita akan menang,” kata Bacina.

Terdahulu, keputusan 4-0 itu menyaksikan skuad ‘Warga Kota’ bangkit daripada kekalahan dalam dua aksi terakhir sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat Bacina dalam Liga Super.

Mendahului 1-0 menerusi jaringan Tchetche Kipre pada minit ke-30, mereka tampil ‘garang’ menambah tiga gol selepas rehat menerusi Sebastian Avanzini (m46), Paulo Josue (m55) dan Sean Gianelli (m87).

sumber:- BH

Selepas mengharungi 21 perlawanan, KL City menghuni tangga ketujuh dengan 31 mata hasil lapan kemenangan dan tujuh seri.