PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dipilih sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS sempena majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 yang akan berlangsung Selasa ini.
Pengarah Urusan Perhubungan Kerajaan dan Industri dan Pengurusan Halal, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff berkata, pencapaian konsisten Muhammad Azeem yang mula menceburkan diri dalam acara balapan ketika berusia 14 tahun amat menakjubkan dan berharap beliau terus mengangkat martabat sukan itu ke tahap lebih tinggi.
“Kita dapat menyaksikan permata baharu dalam pembikinan dalam arena olahraga negara selepas era 90-an iaitu Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim (yang) sentiasa menghadirkan cerita manis untuk sukan tanah air.
“Kami berharap anugerah diberikan kepada Muhammad Azeem dapat dijadikan motivasi untuk terus cemerlang dalam arena olahraga sekali gus membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” kata beliau menerusi kenyataan SAM hari ini.
Beliau yang diberi julukan ‘Usain Bolt Malaysia’ itu bukan sahaja mencipta sensasi dalam arena olahraga ketika layak ke final acara 100 meter pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak ketika hanya berusia 14 tahun, malah mencatat keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya mengembangkan karier di Universiti Auburn, Alabama, di Amerika Syarikat sejak Januari lalu.
Kurang sebulan ‘berguru’ di Amerika Syarikat, pelari berusia 19 tahun itu terus unggul apabila memadamkan rekod berusia 24 tahun acara 60 meter (m) milik Watson Nyambek dengan merekodkan 6.63 saat (s) di Terbuka Texas Tech & Multi di Texas, iaitu 0.03s lebih pantas daripada Watson ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Jepun pada Mac 1999.
Malah, Muhammad Azeem juga memadamkan rekod acara pecut 100m yang dipegang Khairul Hafiz Jantan 10.18s ketika beraksi di peringkat saringan Kejohanan Remaja Dunia, Colombia tahun lalu dengan catatan masa 10.09s.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun lepas, turut akan dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 ialah wartawan sukan, yang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
sumber:- SH
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori Kewartawanan Sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.