sukan

Saya tidak berpuas hati

Pengurus skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Datuk Seri Shahril Mokhtar jelas sekali tidak gembira dengan pencapaian keseluruhan skuad muda kebangsaan yang menduduki tempat keempat di kejohanan Piala AFF B-23.

Hal ini kerana, Shahril melihat barisan pemain muda itu boleh beraksi lebih baik dengan sekurang-kurangnya menempah tiket ke final seperti yang disasarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Barisan pemain muda beraksi tidak seperti yang dirancang namun secara keseluruhan mereka beraksi dengan baik terutamanya ketika menentang Thailand pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Secara keseluruhan, saya tidak gembira kerana sebenarnya boleh melakukan lebih baik kerana barisan pemain muda ini sebenarnya mempunyai potensi sangat besar,” katanya.

Pada perlawanan petang semalam menyaksikan hasrat pasukan negara mengakhiri saingan Piala AFF B-23 di tempat ketiga lebur apabila tewas kepada Thailand 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rayong, Thailand.

Keputusan terbabit sekali gus mengulangi rekod 2005 apabila skuad muda negara turut mengakhiri saingan Piala AFF B-23 di bumi Gajah Perang di kedudukan keempat selepas tewas 2-4 kepada Myanmar menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, pujian harus diberikan kepada anak buah E Elavarasan apabila menampilkan permainan lebih mantap berbanding ketika menentang Vietnam tempoh hari dengan sering melancarkan serangan berbahaya dan mengawal perlawanan.

sumber:- HM

Skuad muda negara sekali lagi akan diuji apabila akan beraksi pada kelayakan Piala Asia 2024 pada 6-12 September di Chonburi, Thailand.