sukan

Impian Rekod Dunia JDT lebur

Apa ada pada satu mata yang berjaya diselamatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika mengikat bakal juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-3 di Stadium Darul Aman, semalam?

Meskipun ia hanyalah satu mata yang sekadar membantu skuad ‘Kenari’ menokok kepada 44 mata dan masih ketinggalan lima mata di belakang Selangor FC (SFC) tetapi keputusan itu sebenarnya memberi signifikan yang besar kepada senario saingan Liga Super musim ini.

Ini kerana keputusan terbabit menyaksikan anak buah Nafuzi Zain itu menangguhkan pesta kejuaraan JDT buat kali ke-10 berturut-turut.

Malah, mereka meranapkan impian skuad Harimau Selatan mencipta rekod dunia untuk memenangi semua 26 perlawanan liga ketika hanya berbaki enam perlawanan buat mereka.

Selepas terlalu unggul memenangi 20 aksi liga berturut-turut, anak buah Esteban Solari terpaksa menunggu musim depan untuk memburu rekod ‘sempurna’ meskipun hanya selangkah untuk bermain ‘bunga api’ bagi kejuaraan Liga Super kali ke-10 berturut-turut.

Keputusan itu juga membolehkan Kedah menjadi pasukan pertama mencuri mata daripada JDT pada musim ini di sebalik kejayaan skuad Harimau Selatan membelasah lawan dengan jumlah gol yang besar.

Malah, skuad Kenari juga ‘dibelasah’ 0-6 oleh JDT pada pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, jadi tidak hairanlah mengapa keputusan 3-3 ini diraikan dengan begitu meriah oleh Kedah serta penyokongnya.

Rekod lain yang turut dilakar Kedah usai perlawanan terbabit adalah mereka muncul pasukan pertama meledak tiga gol ke atas JDT musim ini – JDT hanya dibolosi empat gol dalam 20 perlawanan sebelum ini.

Tiga penjaring KDA FC, Ifedayo Olusegun, Manuel Ott dan Amirbek Juraboev menyertai ‘kelab ekslusif’ bersama empat lagi pemain yang berjaya meledak gol ke atas JDT pada musim ini.

Empat pemain terbabit adalah Leonardo Rolon (Kelantan FC), Sony Norde (Terengganu FC), Matko Zirdum (KL City FC) dan Jafri Firdaus Chew (Sabah FC).

Berdasarkan semakan, ini juga kali kedua Nafuzi berjaya mengecewakan JDT dan menentang pasukan yang memiliki reputasi yang terlalu gah seperti JDT, sudah tentu ini satu pencapaian yang boleh dibanggakannya.

sumber:- BH

Sebelum ini, Nafuzi membawa Terengganu FC (TFC) meleburkan rekod tanpa kalah JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 2021 dan semalam, dia membimbing Kedah menjadi pasukan pertama menafikan peluang JDT meraih kemenangan pada musim ini.