sukan

Malaysia idam Jinakkan Thailand

Selepas misi ke final lebur, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara kini berhasrat menjinakkan tuan rumah Thailand dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala AFF B-23 di Stadium Rayong Provincial, esok.

Kapten skuad B-23, Ubaidullah Shamsul Fazili menegaskan aksi berdepan Thailand penting untuk skuad negara sekurang-kurangnya membawa pulang pencapaian dari kejohanan itu.

Dia berkata, moral semua pemain berada dalam keadaan baik untuk mengharungi aksi itu walaupun kecewa apabila tewas 1-4 kepada juara bertahan, Vietnam di separuh akhir, semalam.

“Sudah pasti rasa kecewa sebab tak layak ke final, tetapi moral pasukan dalam keadaan baik dan saya percaya rakan sepasukan bersemangat untuk perlawanan seterusnya.

“Perlawanan esok juga penting untuk kami kerana walaupun ia aksi penentuan tempat ketiga, tetapi paling kurang kami ada satu pencapaian.

“Persediaan seperti biasa dan kami ikut perancangan jurulatih. Apa yang penting perlu lebih fokus dan kerja keras lagi sebab Thailand juga pasukan yang kuat dalam kejohanan ini.

“Kami akan bagi yang terbaik dan tunjukkan kepada jurulatih kebolehan masing-masing sebab semua pemain nak berbakti kepada pasukan negara, bukan datang jauh dengan sia-sia. Untuk menang perlawanan esok juga salah satu cita-cita besar kami,” katanya.

sumber:- BH

Kekalahan kepada Vietnam di separuh akhir menyaksikan skuad negara tidak mencapai sasaran untuk melangkah hingga ke perlawanan akhir dalam kejohanan itu.