sukan

Bukan JDT yang salah

Falsafah yang diterapkan dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi faktor Harimau Selatan sudah berjaya meledak lebih 100 gol ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum berakhir.

Skuad kendalian Esteban Solari melakar kemenangan terbesar mereka musim ini apabila membelasah Kelantan 10-0 dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Kenduri gol di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu melepasi angka 100 jaringan apabila sudah meledak 108 gol dalam semua pertandingan domestik.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan JDT mempamerkan falsafah utama kelab bola sepak dunia apabila tidak mempunyai rasa simpati terhadap lawan mereka.

Malah, beliau juga menganggap Kelantan berdepan detik malang apabila diundi berdepan JDT dalam Piala Malaysia ketika skuad Harimau Selatan berada dalam musim paling cemerlang manakala The Red Warriors (TRW) sedang bergelut dengan prestasi buruk.

“Bukan salah JDT kerana mereka pasukan profesional yang memang tiada sikap belas ihsan terhadap lawan. Malah, dalam bola sepak tidak wujud soal simpati atau empati kerana itu juga antara falsafah kelab bola sepak di dunia jika mahu maju ke hadapan.

“Kita bersimpati dengan nasib menimpa Kelantan yang dibelasah sebegitu, namun sebenarnya kita memang sudah jangka mereka akan kalah dengan jaringan besar.

“Kelantan cuma mengharapkan ada kejaiban, namun ia tampak mustahil berdasarkan pemain yang mereka ada. Jadi, ini musim yang sangat malang bagi TRW,” katanya kepada BH Sukan.

Hatrik yang diledak Bergson Da Silva ketika membelasah Kelantan itu membolehkan penyerang dari Brazil itu memimpin carta penjaring JDT musim ini.

Bergson mengumpul 21 gol buat JDT bagi semua pertandingan domestik musim ini, tiga gol di depan Fernando Forestieri, manakala Arif Aiman Hanapi di tangga ketiga dengan 11 gol.

sumber:- BH

Berdasarkan statistik, semua bahagian dalam skuad JDT menyumbang jaringan dengan jentera serangan meledak 66 gol, bahagian tengah menghasilkan 29 gol dan pertahanan 10 gol selain tiga lagi gol adalah jaringan sendiri pasukan lawan.