Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin diharap dapat mempertajamkan sentuhan penyudah mereka menjelang aksi pertama di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.
Ee Yi-Yew Sin mendapat bye di pusingan pertama dan hanya akan turun ke gelanggang untuk aksi pusingan kedua bertemu antara gandingan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga atau Vinson Chiu-Joshua Yuan dari Amerika Syarikat, Rabu ini.
Jika menang, mereka dijangka bertemu gandingan tuan rumah yang juga juara Kejuaraan Eropah pada Jun lalu, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada pusingan ketiga.
Kali terakhir Ee Yi-Yew Sin bertemu gandingan itu adalah di Terbuka China 2019 yang memihak kepada pasangan negara.Jurulatih mereka, Rosman Razak tidak terlalu bimbang dengan lawan yang bakal ditemui anak buahnya itu sebaliknya lebih gusar dengan prestasi mereka terutama kelemahan ketika melakukan penyudah.
“Untuk Yew Sin-Ee Yi, mereka sebenarnya sudah menang dengan semua gandingan yang menduduki ranking 10 terbaik dunia.”Jadi sebenarnya saya tak kisah sangat mengenai lawan yang akan ditemui mereka. Cuma mereka berdua perlu lebih konsisten dan dapat melakukan penyudah yang baik.
“Mereka biasanya lemah di bahagian penyudah. Selain itu paling penting saya mengharapkan mereka bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Rosman akui berasa lega dengan kehadiran tiga pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang akan membantu atlet profesional di bawah program Road to Gold (RTG) termasuk Yew Sin-Ee Yi.
sumber:- BH
“Kehadiran mereka banyak membantu kami terutamanya daripada segi proses pemulihan. Sebelum ini kami memang kekurangan perkara ini. Harap pemain dapat memanfaatkan peluang yang diberikan kepada mereka,” katanya.