sukan

Malaysia tidak anggap mereka ‘cap ayam’

Skuad bawah 23 tahun (B-23) tahun negara diingatkan tidak menganggap Timor Leste sebagai pasukan ‘cap ayam’ menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu dalam Kumpulan B saingan Piala AFF B-23, Selasa ini.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan bahawa tahap permainan Timor Leste kini sudah jauh berbeza dan mampu mengejutkan pasukan besar.

Justeru, Jamal berkata Harimau Malaya B-23 di bawah kendalian E Elavarasan harus lebih berhati-hati dan tidak boleh terlampau yakin apabila berdepan Timor Leste di Stadium Rayong, Thailand.

Katanya, strategi dan barisan pemain terbaik juga harus digunakan dalam memastikan skuad negara tidak tampil dengan persembahan sambil lewa hingga boleh memakan diri.

“Kalau dahulu kita anggap Timor Leste sebagai ‘ayam’ sahaja, boleh menang dengan mudah. Namun sekarang ini mereka sudah banyak meningkat, jadi kita tak boleh terlampau yakin dan perlu berhati-hati.

“Kita tak boleh anggap sesetengah pasukan yang ada dalam kejohanan ini sebagai pasukan yang boleh kita belasah, kita kena anggap mereka sama tahap. Ambil setiap perlawanan sebagai cabaran yang berat.

“Maknanya walaupun kita sudah menang dengan Indonesia yang mana kita anggap mereka pasukan kuat, tetapi kita jangan leka sebab pernah berlaku yang mana kita kalah lawan Myanmar dahulu,” katanya kepada BH Sukan.

Skuad Harimau Malaya B-23 kini memimpin saingan Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata selepas menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja, Indonesia dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu.

Untuk rekod, skuad B-23 tewas 1-2 kepada Timor Leste dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan ketika aksi persahabatan pada April tahun lalu.

Selain itu, Jamal berpendapat masih terlalu awal untuk menyatakan skuad Elavarasan mampu melangkah ke final dan mencapai sasaran yang ditetap bagi Piala AFF B-23 kali ini.

sumber:- BH

“Kalau ke separuh akhir saya berasa tiada masalah, cuma untuk ke final saya fikir masih terlalu awal untuk kita perkatakan yang mana kita perlu lihat aksi yang seterusnya terlebih dahulu,” katanya.