sukan

JDT lepasi angka

Kemenangan besar 10-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kelantan dalam saingan Piala Malaysia, semalam menyaksikan skuad itu melepasi angka 100 gol yang dikumpul bagi semua kejohanan domestik musim ini.

Kenduri gol yang dilakar di Stadium Sultan Ibrahim itu menjadi kemenangan terbesar buat Harimau Selatan bagi saingan musim ini.

Ia kali kedua juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu merekodkan kemenangan terbesar dalam sejarah mereka apabila turut melakar kemenangan 10-0 ketika menundukkan BRM FC dalam saingan Piala FA, musim lalu.

Tambahan 10 gol ketika membelasah Kelantan dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia itu meletakkan anak buah Esteban Solari kini mengumpul 108 gol dari 26 perlawanan dalam semua kejohanan untuk musim ini.

Gol kedua Harimau Selatan yang diledak bintang baharu mereka, Takahiro Kunimoto dalam perlawanan itu adalah jaringan ke-100 Harimau Selatan sepanjang musim ini.

sumber:- BH

JDT sudah menjaringkan 79 gol dalam saingan Liga Super, 14 gol dalam Piala FA dan 15 gol dalam Piala Malaysia setakat ini.