Usaha keras daripada pemain dianggap faktor utama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara berjaya bangkit mengalahkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja, Indonesia 2-1 dalam aksi pembukaan Piala AFF B-23.
Skuad Harimau Malaya B-23 bangkit dengan dua gol daripada Fergus Tierney pada babak kedua selepas ketinggalan menerusi jaringan Ramadhan Sananta minit ke-29 dalam aksi di Stadium Rayong Provincial, Thailand.
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Elavarasan menyifatkan kejayaan itu adalah hasil daripada usaha pemain yang bekerja keras untuk bangkit mendapatkan tiga mata berharga.
Penolong jurulatih skuad senior Harimua Malaya itu turut menganggap pasukannya lebih bernasib baik daripada Indonesia apabila berjaya menyudahkan peluang terhidang untuk menghasilkan jaringan.
“Sudah pasti kami sangat menghormati Indonesia selaku juara Sukan SEA. Mereka hadapi masalah tidak dapat pemain terbaik untuk kejohanan ini dan kami juga hadapi masalah yang sama.
“Bagi perlawanan ini, Indonesia ada lebih pengalaman dan mereka mengawal permainan. Kami bernasib baik pada babak kedua apabila memperoleh peluang yang baik untuk menjaringkan gol.
“Saya fikir itu semua (kemenangan) adalah usaha daripada pemain kerana selepas ketingalan 1-0 mereka berusaha untuk bangkit,” katanya selepas perlawanan.
Kemenangan ke atas skuad Garuda membolehkan Harimau Malaya B-23 memimpin saingan Kumpulan B dengan kelebihan tiga mata.
Tiga mata yang diraih itu membuka peluang cerah buat anak buah Elavarasan untuk melangkah ke separuh akhir dan akan berdepan Timor Leste dalam aksi terakhir kumpulan, Selasa ini.
Berdasarkan rekod, tiada masalah untuk skuad negara melepasi halangan berkenaan kerana tidak pernah tewas kepada Timor Leste sejak Sukan SEA 2009.
Kali terakhir skuad negara menentang Timor Leste ialah pada Sukan SEA 2019 apabila skuad negara menang 4-0.
sumber:- BH
Kemenangan terbesar skuad B-23 tahun negara ialah ketika membelasah pasukan berkenaan 11-0 pada Sukan SEA 2015 di Singapura.