sukan

Tarik diri atas sebab tertentu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin terpaksa mengubah format perlawanan Pestabola Merdeka atau perlu segera mencari lawan lain apabila dikhabarkan pasukan Lubnan menarik diri daripada menyertai kejohanan terbabit atas sebab tertentu.

Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada FAM dan Persatuan Bolasepak Lubnan namun menurut sumber, pasukan Timur Tengah itu sudah menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada Pestabola Merdeka walaupun undian perlawanan itu sudah dilakukan pada minggu lalu.

Sumber berkata, antara punca penarikan diri Lubnan adalah disebabkan mereka bertemu Palestin pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekali gus tidak mahu perancangan kedua-dua pasukan terganggu.

Katanya, Persatuan Bolasepak Lubnan akan menghantar surat rasmi kepada FAM untuk menarik diri daripada menyertai kejohanan terbabit dalam tempoh terdekat ini sekali gus bakal memeningkan kepada badan induk bola sepak negara dalam usaha mencari lawan lain untuk beraksi pada perlawanan Pestabola Merdeka.

“Lubnan sudah menyatakan pendirian untuk menarik diri daripada Pestabola Merdeka walaupun FAM sudah membuat undian bagi perlawanan itu baru-baru ini.

“Mereka tidak menyatakan secara terperinci sebab penarikan diri namun mungkin antara punca utama adalah disebabkan diundi dalam Kumpulan sama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pada majlis undian Pestabola Merdeka baru-baru ini menyaksikan pertembungan membabitkan pasukan yang berada di ranking 96 dan 100 dunia iaitu Palestin serta Lubnan akan membuka tirai Pestabola Merdeka itu.

Skuad Harimau Malaya pula diundi bertemu India dengan pemenang membabitkan kedua-dua perlawanan akan berentap pada perlawanan akhir manakala yang tewas akan bertemu untuk merebut tempat ketiga.

Selain itu, perlawanan itu juga menyaksikan kejohanan pertama yang akan merasmikan padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejohanan itu yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober menjadi pentas terbaik buat Harimau Malaya untuk menguji kekuatan menjelang Piala Asia di Qatar tahun depan.

sumber:- HM

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Mohd Firdaus Mohamed ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan pihaknya akan membuat kenyataan berkaitan situasi terbabit dalam tempoh terdekat ini.