sukan

TFC Rekod jaringan Liga Super terbesar musim ini

Hasrat Kelantan FC untuk terus menikmati kemenangan terencat apabila parah ‘ditanduk’ Terengganu FC (TFC) 0-8 dalam saingan Liga Super, malam tadi

Kelantan tewas menerusi tiga jaringan hasil tandukan daripada keseluruhan lapan gol dihasilkan pelawat.

Jaringan sulung Skuad Penyu hadir menerusi tandukan jarak dekat Ivan Mamut yang meletakkan pelawat di depan pada minit ke-13.

Minit ke-27, anak buah Tomislav Steinbruckner menggandakan jaringan menerusi hantaran cantik Sony Norde yang tepat kepada Nurillo Tukhtasinov yang menanduk masuk bola.

Kesilapan penjaga gol Kelantan, Muhammad Irfan Haikal Mohd Affendi membuat lorongan ke luar kotak penalti dihukum dengan larian laju Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk menyumbat gol ketiga TFC pada minit ke-35.

Lima minit berselang, gawang The Red Warriors (TRW) terus dirobek dengan tandukan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob@Engku Azman hasil sepakan sudut Norde untuk gol keempat Terengganu.

Keputusan Kelantan 0-4 Terengganu kekal hingga babak pertama berakhir dengan perlawanan tertunda selama 90 minit akibat hujan lebat.

Sebaik sepak mula babak kedua, Terengganu garang dengan percubaan Norde sekali lagi namun bola ditampan Muhammad Irfan.

Minit ke-46, Muhammad Safwan Mazlan menyepak mudah bola ke gawang TRW untuk gol kelima Sang Penyu.

Gol kedua Ivan Mamut menyaksikan pelawat berpesta gol dengan jaringan keenam seterusnya mengecewakan 1,620 penonton di stadium pada minit ke-53.

sumber:- BH

Pelawat mengesahkan kemenangan hasil sepakan deras pemain gantian, Mohamad Hakimi Abdullah untuk gol ketujuh 10 minit kemudian dan hatrik Ivan Mamut pada minit ke- 66 untuk gol kelapan Terengganu.