Kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut semakin berada di dalam genggaman Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas membelasah Perak 5-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Selepas mengharungi perlawanan ke-20, skuad kendalian Esteban Solari terus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dan kemenangan ke-20 berturut-turut menjadikan ia pencapaian `luar biasa’ buat skuad Harimau Selatan sejak transformasi pada 2013.
Rentak permainan kemas JDT yang menguasai setiap posisi sebaik permainan bermula nyaris membuka akaun jaringan seawal minit kedua selepas bola hantaran lintang Oscar Arribas hampir disudahkan Endrick Dos Santos tapi penjaga gol, T Shaheeswaran sempat menepis bola.
Walaupun terpaksa mencari ruang untuk melakukan gerakan selepas barisan pemain skuad kendalian Yusri Che lebih gemar berkampung di kawasan sendiri, ia tidak menghalang JDT mencipta jaringan pada minit ke-21 selepas Heberty Fernandes meledak rembatan dari jarak 25 meter menewaskan Shaheeswaran.
Selang enam minit kemudian, JDT menghukum kealpaan benteng skuad The Bos Gaurus selepas bola berpunca daripada sepakan sudut Juan Muniz ditanduk Matthew Davies yang juga gol peribadi pertama bersama Harimau Selatan musim ini.
Kesilapan Shaheeswaran yang gagal menendang bola keluar berpunca daripada bola ke belakang Raja Imran Shah Raja Amin pada minit ke-35 menyebabkan penjaga Perak FC itu tergelincir sekali gus mendatangkan tuah buat Bergson Da Silva yang hanya sekadar menyungkit bola untuk JDT selesa mendahului 3-0.
Sebaik babak kedua, JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-49 selepas bola lorongan Arif Aiman Hanapi disambar Bergson yang menendang bola leret tapi hanya sipi di sebelah kanan gawang Perak.
Anak didik Solari tidak menunggu lama untuk menambah derita Perak pada minit ke-55 selepas bola sepakan jauh kapten Jordi Amat tepat kepada Arribas yang bergerak di posisi sayap kiri menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola kencang.
sumber:- BH
Ternyata JDT berada di dalam kelas tersendiri apabila menambah gol kelima pada minit ke-66 selepas Muniz yang mengambil sepakan percuma dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang dan kedudukan 5-0 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.