sukan

Tiada lagi cap ayam untuk Malaysia

Tiada lagi laluan mudah akan diharungi skuad kebangsaan selepas ini apabila Harimau Malaya akan berdepan pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Bermula dengan dua aksi persahabatan antarabangsa bulan depan, skuad kendalian Kim Pan Gon bakal bertarung dengan pasukan ranking ke-94 dunia, Syria dan China yang menghuni tangga ke-80.

Malah, cabaran hebat menanti Harimau Malaya dalam dua perlawanan itu apabila akan beraksi di gelanggang lawan iaitu di Chengdu, China.

Selepas itu, skuad negara yang berada di kedudukan 136 dunia akan mengharungi dua aksi getir dalam Pestabola Merdeka pada Oktober ini yang mana mereka juga akan berdepan pasukan ranking lebih tinggi.

Bakal berdepan India di ranking ke-99 pada aksi pertama Pestabola Merdeka, anak buah Pan Gon seterusnya akan menentang Palestin (ranking ke-96) atau Lubnan (100) sama ada di final atau penentuan tempat ketiga kejohanan itu.

Melihat kepada kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kualiti semua pasukan itu, cabaran berbeza atau lebih sukar bakal dihadapi Harimau Malaya berbanding beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

Apa yang positif, ia menjadi ujian terbaik buat skuad Pan Gon dalam rangka mempersiapkan pasukan mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2026, November ini dan pusingan akhir Piala Asia 2023, awal tahun depan.

“Pada September kita akan lawan Syria dan China di China. Jadi ia akan membantu untuk mempersiapkan pasukan bagi Pestabola Merdeka.

“Bagi aksi September dan Oktober, empat perlawanan ini juga sangat membantu kami untuk memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 pada November dan pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Saya fikir kami perlu menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk melakukan persiapan dengan baik,” katanya.

Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dalam Kumpulan D berdepan pasukan ranking 96 dunia, Kyrgyzstan pada 6 November sebelum aksi kedua menentang Taiwan atau Timor Leste pada 21 November ini.

sumber:- BH

Selain itu, skuad Pan Gon juga dijangka berdepan pasukan kuat pada Januari tahun depan dengan pasukan tangga 54 dunia, Arab Saudi dan Oman (73) dirancang menjadi ujian terakhir Harimau Malaya sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023.