sukan

Taktikal Baddrol menjadi

Menggunakan taktikal kerap ‘turun padang’ mungkin antara faktor kemenangan bekas pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar pada Pilihan Raya Negeri Kedah semalam.

Hal ini kerana, ketika dicalonkan sebagai wakil rakyat bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, bekas tonggak tengah Harimau Malaya itu masih aktif dalam arena bola sepak negara sebagai seorang pemain.

Ironinya taktikal yang diguna pakai Baddrol itu bukanlah yang pertama kali dipakai memandangkan bekas pemain Rusia, Roman Pavlyuchenko pernah mengunakannya pada tahun 2008.

Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu berjaya memenangi kerusi dalam majlis wilayah di bandar kelahirannya di Stavropol ketika berusia 26 tahun dan adalah seorang tonggak bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dorongan dari seluruh warga Gurun atas kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat di Gurun ini.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera PAS, Bersatu dan Gerakan yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dari awal sehingga ke akhirnya. Yang pasti, perjuangan ini bukanlah pengakhirannya.

“Dengan ini, secara tidak langsungnya bermulalah amanah dan khidmat bakti saya selaku Adun Gurun.

“Mohon doa semua, Insya-Allah dengan segala kudrat yang ada, akan saya lakukan yang terbaik. Mandat ini untuk rakyat,” tulis Baddrol di laman Facebook rasmi miliknya semalam.

Terdahulu Baddrol yang juga bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC diumumkan sebagai Adun Gurun dengan memperoleh 17,771 undi.

sumber:- HM

Pemain tengah berusia 35 tahun itu mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi.