sukan

Selangor FC hilang lima pemain

Selangor FC perlu bekerja lebih keras dalam usaha meraih tiga mata bertemu Negeri Sembilan esok selepas pasukan terbabit kehilangan lima tonggak utama akibat kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Situasi terbabit disahkan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe apabila ketiadaan lima pemain utama itu dilihat akan merencatkan perancangan skuad Gergasi Merah dalam usaha mengutip tiga mata penting.

Beliau berkata, pemain lincah Selangor FC, Safuwan Baharudin dan R Ruventhiran digantung perlawanan manakala dua import iaitu Noor Al-Rawabdeh dan Alex Agyarkwa mungkin perlu disisihkan kerana belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan dialami mereka pada perlawanan terdahulu.

“Brendan Gan baru menyertai pasukan semalam dan dia juga mengalami kecederaan buku lali namun mungkin tidak menjadi masalah serius.

“Zikri Khalili juga mengalami kecederaan buku lali tetapi kami perlu mengesahkannya terlebih dahulu dengan pasukan perubatan kerana dia mungkin perlu menjalani pemulihan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sebarang perlawanan kompetitif,” katanya.

Walaupun, lima pemain utama tidak dapat beraksi menentang Negeri Sembilan, namun bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu tidak panik apabila percaya barisan anak buahnya yang lain mampu menggalas cabaran untuk mencipta keputusan positif.

“Saya fikir dalam dua perlawanan terakhir kami menentang mereka (Negeri Sembilan) menyaksikan sering dibolosi pada awal perlawanan sekali gus perkara itu perlu dielakkan bagi memastikan perlawanan memihak kepada Selangor.

“Apabila kami membenarkan mereka menjaringkan gol awal sudah pasti akan beraksi dalam keadaan tekanan sekali gus akan melakukan banyak kesilapan.

sumber:- HM

“Pada masa sama, saya lihat pengendali Negeri Sembilan K Devan adalah jurulatih berpengalaman seterusnya mempunyai perancangan dalam memerangkap Selangor pada perlawanan esok,” katanya.