sukan

Jumlah mata JDT perlukan untuk main bunga api awal

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengorak langkah besar untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut jika mengalahkan Perak FC malam ini.

Anak-anak buah Esteban Solari hanya perlu memenangi dua daripada tujuh baki perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan, dan kemudian boleh beralih fokus kepada saingan Piala Malaysia.

Harimau Selatan kini meninggalkan pencabar rapat, Selangor dengan 14 mata dan Kedah di tempat ketiga liga, 17 mata di belakang.

Dengan memenangi semua 19 perlawanan musim ini, JDT telah mengumpul 57 mata maksimum.

Itu bermakna, dua lagi kemenangan akan memberi 63 mata buat JDT. Sekali pun Selangor memenangi semua baki enam perlawanan, mereka hanya boleh mengumpul 61 mata, begitu juga jika Kedah menang semua tujuh aksi terakhir.

Biarpun hanya menunggu masa untuk bermain ‘bunga api’, Solari seperti biasa enggan mengambil pendekatan terlalu yakin apabila berdepan Perak malam ini, selain bertemu Kedah dalam liga seterusnya di Alor Setar pada 26 Ogos.

“Walaupun sasaran utama kami adalah mempertahankan trofi Liga Super, namun kami perlu memikirkan tentang kejuaraan ketika ini. Masih ada beberapa perlawanan perlu diharungi, sebaiknya kami tumpu satu demi satu.

“Perak juga menunjukkan peningkatan hebat, terutama selepas menang 3-1 ke atas Kedah dalam aksi Piala Malaysia. Mereka kemudian menunjukkan momentum dengan mengalahkan Penang FC (3-1, Luga Super).

“Kami harus kekal berdisiplin, tunjukkan intensiti tinggi dan perkemaskan semua kelemahan yang dikesan sebelum ini,” katanya.

Sekalipun turun tanpa Fernando Forestieri, Diogo Luis Santo dan Leandro Velazquez yang mengalami kecederaan, Solari masih memiliki ramai bintang yang mampu memusnahkan Perak seperti Juan Muniz, Shio Hong Wan serta Oscar Arribas.