Turun dengan misi mengekalkan rekod kemenangan bersih malam ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja akan berdepan cabaran Sabah FC, malah ribuan penyokong Sang Badak.
Kelmarin, 22,000 tiket untuk perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu habis dijual dan penyokong tuan rumah akan menggunakan kekuatan sorakan mereka untuk membantu skuad Sang Badak mengejutkan Harimau Selatan.
Situasi itu pastinya meningkatkan semangat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk memburu kemenangan ke-12 musim ini, sekali gus menghidupkan semula misi memburu kelompok tiga teratas Liga Super.
Biarpun kalah 4-0 kepada JDT dalam aksi pertama liga pada 1 April lalu, namun Sabah tidak pernah kalah di Likas musim ini.“JDT akan menjadi ujian sebenar Sabah FC. Kami belum tewas di Likas, dan kami berharap dapat mengekalkan rekod itu.
“Kami boleh memperoleh keputusan positif jika pemain bekerja keras. JDT konsisten musim ini, dan mereka tidak melepaskan banyak gol.
“Bagaimanapun, (Ramon) Macedo berada dalam prestasi terbaik, dan satu gol menentang JDT akan meningkatkan keyakinannya,” kata Kim Swee.
Penyerang import dari Brazil, Macedo berada pada prestasi terbaik dengan menjaringkan enam gol dalam lima perlawanan terakhir.
Sabah juga mengalu-alukan kembali pertahanan Korea Selatan, Park Tae Su, penyerang Darren Lok, selain pemain tengah, Sadil Ramdani serta Miguel Cifuentes yang tidak beraksi ketika mereka mengalahkan Kuching City 3-0 pada saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu.