sukan

Juara 33 kali bangkit penuh bergaya

Juara 33 kali, Selangor FC (SFC) membuka kempen Piala Malaysia 2023 dengan bergaya apabila bangkit membelasah PDRM FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Turun sebagai pelawat pada aksi pertama pusingan 16, anak buah Tan Cheng Hoe berubah ‘garang’ pada babak kedua meskipun ketinggalan dengan satu gol pada separuh masa pertama.

Skuad ‘The Cops’ berjaya mengimbangi perlawanan meskipun penguasaan bola lebih banyak dimiliki oleh SFC yang berjaya melancarkan beberapa gerakan bagi mendapatkan gol pembukaan.

Gerakan SFC banyak dijana menerusi bahagian sayap namun berjaya disekat selain hantaran lintang yang cuba dilakukan tidak dapat menemui pemain mereka dengan baik.

Pertahanan PDRM FC berjaya mengeluarkan percubaan pelawat pada minit ke-17 yang nyaris menghasilkan gol pembukaan sebelum Ramdhan Ab Hamid menangkap kemas rembatan Brendan Gan seminit berselang.

Bagaimanapun, SFC terpana pada minit ke-25 apabila penyerang PDRM FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyambut percubaan Bruno Suzuki yang terkena tiang selepas gerakan penyerang import itu dihalang Sam Sommerville.

Bersambung babak kedua, usaha keras SFC yang terus mengasak membuahkan hasil selepas Ayron del Valle menyudahkan hantaran lintang Brendan pada minit ke-56.

Dua minit selepas Ramdhan cemerlang menepis percubaan Noor Al Rawabdeh pada minit ke-61, del Valle meledak gol kedua SFC menerusi jaringan akrobatik untuk kedudukan 2-1.

sumber:- BH

PDRM FC bertambah derita apabila SFC ‘mengganas’ dengan gol ketiga pada minit ke-72 sumbangan Harith Haiqal Adam Afkar disusuli gol keempat oleh Yohandry Orozco di hujung permainan.