sukan

Sah Import terbaharu

Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) mendapat kekuatan baharu apabila pemain sayap Myanmar yang beraksi bersama Selangor FC, Hein Htet Aung, menyertai skuad itu secara pinjaman bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kelab berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Htet Aung dibawa masuk secara pinjaman pada sesi perpindahan kedua pemain Liga M yang berakhir hari ini.

“Htet Aung berasal dari Myanmar, bakal beraksi bersama skuad Negeri Sembilan secara pinjaman dari Selangor FC untuk baki musim 2023.

“Beliau boleh bermain sebagai pemain sayap dan penyerang. Htet Aung memulakan kerjayanya di Liga Malaysia bersama Selangor FC pada tahun 2021.

“Memiliki ketinggian 1.74 meter, Htet Aung bakal menyarung jersi bernombor 10,” katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod, pemain sayap Myanmar berusia hampir 22 tahun menjelang Oktober depan itu sudah beraksi bersama skuad Merah Kuning sejak tahun 2021.

Bekas pemain sayap Hantharwady United itu turut diintai Penang FC.

Dia merekodkan 55 penampilan serta menjaringkan empat gol selain mencipta 13 bantuan sepanjang bersama Selangor FC.

Perpindahan ini bakal memberi nafas baru kepada pemain terbabit selepas menyaksikan minit permainannya yang terhad sejak kebelakangan ini ekoran persaingan sengit di bahagian serangan Selangor.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan mengalu-alukan kehadiran Htet Aung dalam skuad Hobin Jang Hobin dan yakin dia akan dapat membantu memperkuatkan lagi pasukan berkenaan dalam mengharungi baki saingan Liga Super.

“Kehadiran beliau sudah tentu dapat membantu memperkuatkan lagi pasukan selepas penghijrahan dua pemain import, Safuwan Baharuddin dan Levy Madinda.

“Kami harap beliau dapat membantu dalam meningkatkan lagi tahap prestasi pasukan dalam mengharungi baki saingan liga dan Piala Malaysia dengan meraih keputusan yang baik,” katanya.

sumber:- BH

Negeri Sembilan akan memulakan cabaran dalam Piala Malaysia menentang Kelantan United FC di tempat lawan, Sabtu ini.