sukan

Pan-gon berhati-hati

Skuad Harimau Malaya tidak mahu terlalu ‘over acting’ dalam meletakkan sasaran pasukan dalam dua kejohanan penting yang bakal dilalui selepas ini.

Sebaliknya, pengendali pasukan negara, Kim Pan-gon mahu mengambil langkah berhati-hati dalam menentukan sasaran pasukan bagi mengelak tekanan kepada anak buahnya.

Katanya, biarpun undian Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dilihat agak mudah serta kempen Piala Asia di Qatar Januari depan seimbang, namun beliau akui pasukan perlu lebih realistik sebelum menetapkan misi pasukan.

“Kita tidak mahu terlalu gembira dan kita perlu berhati-hati dengan ‘approach’ kita.

“Kita adalah Malaysia yang sebelum ini di tangga ke-152 kini di tangga ke-136 dan kita perlu menghormati lawan dalam proses untuk menggembirakan rakyat Malaysia,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Terdahulu, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang antara Taiwan atau Timor Leste yang akan beraksi terlebih dulu di pusingan pertama.

Malaysia akan memulakan cabaran menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertemu pemenang antara Taiwan atau Timor Leste pada 21 November di gelanggang lawan.

Manakala baki empat lagi perlawanan akan berlangsung timbal balik pada masing-masing pada Mac dan Jun 2024 depan.

sumber:- HM

Manakala untuk kempen Piala Asia awal tahun depan, menyaksikan skuad kendalian Pan-gon diletakkan bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.