sukan

Terima kasih Selangor FC – Faisal

“Terima kasih Selangor FC”, itu kata Faisal Halim yang mengucapkan terima kasih kepada Selangor FC yang sedang bertungkus lumus membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengurangkan penggantungannya.

Jelas Faisal, dia sedar pengurusan skuad Red Giants akan cuba melakukan terbaik dan sentiasa menjaga kebajikan pemain dengan penuh tanggungjawab.

“Saya berharap keputusan rayuan nanti akan meringankan hukuman itu dan saya juga dapat menjalani latihan seperti biasa serta dibenarkan bermain aksi persahabatan supaya kekal cergas untuk perlawanan akan datang.

“Saya kenal pasukan Selangor bagaimana, mereka berusaha dan bekerja keras 200 peratus untuk bantu saya dari segi apa sekali pun.

“Mereka akan lindungi saya dan terima kasih kepada pengurusan yang tidak henti memberi semangat. Sebab itu saya tetapkan dalam diri saya untuk kembali selepas ini menjadi seorang pemain yang lebih baik buat kelab.

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang memberi semangat dan menghubungi saya bertanya khabar. Malah, bukan sahaja dari penyokong Selangor, saya turut mendapat semangat dari rakyat Malaysia yang mendoakan saya supaya kembali dengan lebih bersemangat,” katanya.

Terdahulu, Selangor FC menerima tamparan hebat apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan tindakan penggantungan kepada Faisal susulan kenyataan media yang dibuat selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April lalu.

Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (kenyataan akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (sumbangan kepada media).

sumber:- HM

FAM memaklumkan Faisal digantung selama empat bulan serta merta, namun penggantungannya akan dijalankan sebulan terlebih dulu di mana baki tiga bulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain terbabit.