sukan

Selangor FC sedia ambil langkah seterusnya kes Faisal Halim

Selangor FC sedia mengambil langkah seterusnya andai dakwaan Faisal Halim bakal berdepan penggantungan sebulan benar-benar berlaku.

Bagaimanapun setakat pe­tang semalam, pengurus ­pasukan Red Giants, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menegaskan, mereka tidak menerima sebarang surat rasmi berkenaan hukuman tersebut.

“Setakat petang ini (semalam) saya boleh katakan tidak menerima sebarang surat rasmi atau maklumat isu ini (penggantungan Faisal).

“Sekiranya benar, kita akan menggunakan saluran yang ­betul bagi membuat rayuan atau menyelesaikan perkara tersebut secara baik.

“Apa kesalahan, di bawah seksyen apa dan daripada itu kita akan atur strategi serta kaedah yang boleh dilakukan bagi meringankan pertuduhan tersebut,” katanya ketika dihubungi, Utusan Malaysia semalam.

Sejak beberapa hari lalu, spekulasi bertiup kencang me­ngatakan seorang pemain ter­kenal Liga Super bakal berdepan penggantungan meskipun tiada pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM.

Menurut sumber, pemain malang itu adalah Faisal atau mesra disapa Mickey.

Kata sumber berkenaan, Faisal mungkin digantung sebulan atau lebih kerana didakwa mengkritik pengadil ketika ­Selangor menentang Sabah, April lalu.

“Betul Faisal dikenakan tindakan penggantungan namun jumlah hukuman itu akan di­umumkan oleh FAM dalam tempoh terdekat ini.

“Apa yang boleh saya katakan, Faisal dikenakan hukuman bukanlah disebabkan dia mengasari pengadil cuma pada perlawanan menentang Sabah FC pada 27 April lalu, dia mengeluar­kan kenyataan ter­tentu.

“Kenyataan itu mencetuskan isu sensitif menyebabkan dia dikenakan hukuman,” ujar sumber berkenaan.

Terdahulu, Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya me­luahkan kekecewaan ketika ditemubual media selepas pasukannya kalah 2-1 kepada Sabah di Likas.

Dia meluahkan rasa tidak puas hati dengan menganggap bahawa perlawanan itu tidak adil terhadap pasukannya.
Katanya, ada pihak yang tidak senang hati dan ingin menjatuhkan Selangor, tetapi menganggap itu sebahagian daripada bola sepak.