Penjaga gol muda dari Jepun, Zion Suzuki dilaporkan menolak tawaran untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.
United sudah menandatangani Andre Onana, tetapi dengan Dean Henderson akan menyertai Nottingham Forest dan Luton Town menawarkan peluang kepada penjaga gol 37 tahun, Tom Heaton untuk bermain lebih kerap, kelab kini perlu mencari pilihan untuk persaingan di posisi berkenaan.
Red Devils sudah memerhatikan penjaga gol 20 tahun Urawa Red Diamonds itu sejak tahun 2017 dan memulakan langkah untuk membawanya ke Old Trafford.
Bagaimanapun ia mungkin tidak akan berlaku pada jendela perpindahan kali ini kerana Suzuki mahu terus berada di Jepun bagi mendapatkan tempat beraksi di Olimpik Paris.
United dipercayai menawarkan 5 juta pound (RM29.48 juta) untuk Suzuki, nilai yang akan menjadikannya pemain termahal dalam sejarah J League.
Suzuki mewakili Jepun di setiap peringkat remaja dan membuat penampilan senior pertamanya ketika menentang Hong Kong minggu lalu.
sumber:- BH
Perpindahan ke Old Trafford akan mengurangkan minit permainannya kerana United juga berminat mendapatkan penjaga gol Turki, Altay Bayindir yang kini bersama Fenerbahce. – AGENSI