Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mencipta rekod 900 gol sejak pasukan terbabit beraksi dalam arena bola sepak tempatan bermula 2013.
Menurut hantaran di laman sosial Johor Southern Tiger, jaringan Leandro Velasquez ketika menewaskan Kuala Lumpur City (KL City)FC pada aksi final Piala FA adalah jaringan ke-900 sepanjang zaman buat kelab dan kesemua gol itu dilakukan kurang daripada 10 tahun kewujudan pasukan itu.
Jumlah jaringan itu boleh dikatakan agak sukar dicapai oleh kelab lain sekali gus memberi bayangan rekod berkenaan mungkin akan terus kekal untuk tempoh lama.
Berdasarkan kepada situasi semasa, rangkaian serangan pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu cukup mantap sekali gus mampu menggempurkan gawang lawan dengan jaringan besar.
Malah, JDT yang dimiliki Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampak bakal meraih gelaran ke-10 berdasarkan pencapaian pasukan yang belum lagi tewas dalam musim ini.
Mengikut rekod, JDT menyumbat gol ke-100 dalam semua pertandingan pada musim 2014 menerusi pemain kebangsaan, Amirul Hadi Zainal ketika pasukan itu menumpaskan Kelantan 3-0 pada 20 Jun 2014 yang kemudiannya bergelar juara Liga Super buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Bermula 2015, JDT mula bermain di peringkat Asia apabila layak ke Piala AFC selepas muncul juara Liga Super 2014 dan semakin banyak jaringan gol dilakukan terutama menerusi ayam tambatan, Luciano Figueroa yang menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan.
sumber:- HM
Selepas muncul juara Liga Super selama empat tahun berturut-turut, JDT berjaya mencapai gol ke-500 sepanjang zaman menerusi seorang lagi pemain import dari Brazil, Fernando Marquez yang menjaringkan gol tunggal ketika JDT menewaskan Kelantan 1-0 dalam pertandingan Piala Malaysia pada 25 Ogos 2018.