sukan

Manchester United dimalukan pasukan nama pasukan sukar disebut

Penyerang Wrexham, Paul Mullin mengalami masalah paru-paru ketika kelab itu menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi persahabatan pramusim di San Diego, California, awal pagi tadi selepas dia berlanggar dengan penjaga gol lawan, Nathan Bishop.

Mullin yang juga penjaring terbanyak Wrexham musim lalu dengan rekod 46 gol dalam semua kejohanan berlanggar dengan Bishop ketika penjaga gol United itu mahu menghalang bola hantaran jauh.

Penyerang itu terbaring dan diberikan rawatan oleh fisioterapi yang turut memberikannya bantuan oksigen selain pengusung turut dibawa masuk.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun terbabit masih mampu untuk berjalan keluar daripada padang sebelum dia digantikan.Pengurus Wrexham, Phil Parkinson mengesahkan Mullin mengalami masalah di bahagian paru-paru susulan insiden berkenaan manakala pemilik kelab yang juga bintang Hollywood, Ryan Reynolds menerusi ciapannya di Twitter mendoakan pemain itu segera sembuh.

“Paul Mullins berjuang sehingga titisan darahnya yang terakhir dalam apa jua yang dilakukannya. Seluruh pasukan Wrexham mendoakan dia segera sembuh,” tulis Reynolds.

Elliott Lee, Aaron Hayden dan Sam Dalby menjaringkan gol buat Wrexham manakala United yang menurunkan barisan pemain muda meraih gol sagu hati menerusi jaringan Marc Jurado.

Wrexham mendapat tumpuan di seluruh dunia musim lalu apabila kelab Wales itu kembali ke saingan Liga Bola Sepak Inggeris selepas 15 tahun tercicir.

Populariti Wrexham yang semakin melonjak menyaksikan mereka berpeluang bermain perlawanan persahabatan pramusim dengan pasukan Liga Perdana Inggeris bulan ini.

sumber:- BH

Minggu lalu, Wrexham beraksi menentang Chelsea namun tewas 0-5.Wrexham akan memulakan kempen Liga Divisyen Dua menentang MK Dons di laman sendiri pada 5 Ogos ini. – REUTERS