sukan

Sah tiada dalam radar TFC

Terengganu FC (TFC) menafikan cuba memancing dua tonggak Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya dan Muhammad Akram Mahinan sebagaimana tersebar di media sosial.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, ia hanya khabar angin yang dimainkan peminat tertentu bagi ‘memanaskan’ lagi keadaan ketika jendela kedua perpindahan pemain masih dibuka sehingga 1 Ogos ini.

Jelas sumber itu, dua pemain tengah skuad The City Boys itu tiada dalam radar dan perancangan skuad Penyu dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) selain kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang dijadualkan bermula bulan depan.

“Tidak…itu hanya khabar angin, lagipun dua pemain itu (Akram Mahinan dan Zhafri) tidak ada dalam perancangan jurulatih, malah kami tidak pernah berbincang untuk mendapatkan khidmat mereka.

“Mungkin ada pihak tertentu atau peminat cuba membuat andaian pemain berkenaan bakal beraksi bersama TFC pada jendela kedua perpindahan pemain yang masih berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi.

“Jadi dengan penjelasan ini, ia diharap dapat merungkai persoalan itu kerana misi pasukan kini adalah untuk memantapkan lagi kualiti permainan dalam mengharungi baki saingan liga dan Piala AFC,” demikian menurut sumber itu ketika dihubungi.

Dua minggu lalu, TFC menamatkan kontrak pemain tengah kelahiran Croatia, Domagoj Pusic selepas prestasi pemain yang wajahnya mirip penyerang Perancis, Karim Benzema itu tidak konsisten.

sumber:- HM

Bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pemain itu, jurulatih Tomislav Steinbruckner mengikat pemain kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.