sukan

Manchester United ‘titik’ Arsenal

Bruno Fernandes dan Jadon Sancho menemui sasaran ketika Manchester United menewaskan Arsenal 2-0 pada aksi persahabatan pramusim di depan 82,262 penonton di Stadium MetLife, sebentar tadi.

Peminat New York dan New Jersey kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris itu menyaksikan persembahan menarik pada babak pertama dengan kedua-dua gol dijaringkan tetapi perlawanan itu hambar pada babak berikutnya susulan terlalu banyak pertukaran pemain dilakukan.

Penjaga gol baharu United dari Cameroon, Andre Onana, yang diikat dari Inter Milan pada Khamis lalu dengan harga £44 juta (RM258 juta), tidak beraksi sekalipun menyertai jelajah pasukan di Amerika Syarikat (AS).

Pemain pelapis Tom Heaton menjaga gawang gol dengan Fernandes memakai lilitan kapten selepas menggantikan pertahanan Harry Maguire bagi peranan itu.

Pemain sayap Brazil, Antony mencipta peluang pertama United apabila dia mendapat ruang di tengah kotak penalti tetapi rembatannya jauh tersasar.

Arsenal memulakan jelajah AS dengan kemenangan 5-0 ke atas pasukan Bintang-Bintang MLS pada Rabu lalu dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Martinelli, namun Heaton menghasilkan tindakan penyelamat mengagumkan untuk menafikan pemain Brazil itu dua kali.

United mendahului selepas setengah jam, dengan Fernandes meluru masuk dari sebelah kanan sebelum melakukan rembatan leret kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale.

Tujuh minit kemudian, Sancho menggandakan kedudukan apabila pertahanan Arsenal, Gabriel melakukan kesilapan di garisan tengah dan penyerang England itu meluru pantas sebelum meledak masuk dengan penuh keyakinan.

Ketika United masih mencari penyerang tengah dalam pasaran perpindahan, Sancho bermain di bahagian tengah, berbanding posisi biasanya di sayap dan menangani situasi itu dengan baik.

Dengan kedua-dua Erik ten Hag dan bos Arsenal, Mikel Arteta menggunakan sepenuhnya skuad mereka selepas rehat, rentak perlawanan agak menurun dan pendahuluan United tidak pernah terancam.

Pemain muda berusia 18 tahun Kobbie Mainoo memukau di bahagian tengah United dan Fernandes menyanjung pemain produk akademi itu.

“Secara jujur, Kobbie seorang pemain yang hebat, dia mempamerkan daya tahan mengagumkan. Setiap orang boleh menyaksikannya. Dia bagus dengan bola, bertenaga, dia boleh bertahan dan menyerang. Dia masih muda tetapi kami lihat masa depan cerah buatnya. Harapnya dia akan mendapat lebih banyak minit perlawanan,” kata pemain dari Portugal itu.

Ada satu situasi luar biasa pada hujung perlawanan itu apabila kedua-dua pasukan bersetuju untuk menyertai sepakan penalti penentuan tidak kira apa pun keputusannya.

Sekalipun sepakan penalti itu tidak diambil kira, United menang 5-3 dan kedua-dua pengurus bersetuju untuk menguji kekuatan mental pemain mereka menerusi sepakan penalti sebagai pengalaman berguna.

Awal pagi Khamis ini, United akan bertemu Real Madrid di Houston manakala The Gunners dijadual berdepan Barcelona di Los Angeles. – AFP