Aksi final Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim malam ini, boleh dianggap sebagai aksi yang epik.
Mana tidaknya, ia menyajikan ‘pertempuran taktikal’ antara Esteban Solari dan Bojan Hodak – dua ‘otak’ yang berjaya membimbing pasukan masing-masing mara ke final kali ini.
Solari yang ketika ini memegang rekod sempurna bersama skuad Harimau Selatan sepanjang musim 2023 akan berentap dengan Hodak yang dilabel pakar pertandingan piala.
Pertembungan antara pemegang rekod sempurna dengan pakar pertandingan piala, tiada final yang lebih baik daripada ini bukan?Setakat ini, rekod Solari masih ‘bersih’ dan belum tercalar dengan pengendali dari Argentina itu sudahpun memiliki Piala Sultan Haji Ahmad Shah dalam kabinetnya.
Membimbing JDT dalam 20 perlawanan secara keseluruhan, dia merekodkan 100 peratus kemenangan dengan 76 gol dan hanya dibolosi tiga kali.
Malah, anak buahnya belum lagi dibolosi sepanjang kempen Piala FA 2023 sekali gus membuktikan juara bertahan itu berada dalam kelas tersendiri.
Sementara itu, kejayaan mengejutkan JDT pada pentas final Piala FA 2021 membuktikan Hodak memiliki ‘magis’ tersendiri dan bijak menggunakan pendekatan tepat bagi menundukkan pasukan lebih baik daripada mereka.
Jika tidak kerana percaturan taktikal yang bermain dengan kekuatan mereka, mana mungkin mereka dapat mara ke final ketiga dalam tiga tahun – Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan terkini, final Piala FA 2023.
Kejayaan digapai pasukan seperti KL City FC dengan ‘sumber’ yang terhad jelas ‘memalukan’ beberapa pasukan yang memiliki bajet lebih besar berbanding mereka.
Tidak dapat dinafikan selain JDT, hanya KL City FC pernah merasai perlawanan final terbanyak di bawah Hodak berbanding pasukan lain – membuktikan reputasinya sebagai ‘pakar pertandingan pendek’.
Selain Piala Malaysia 2021 bersama KL City FC, dia turut menghimpun koleksi juara Piala FA 2012 dan Piala Malaysia 2012 serta Piala FA 2013 bersama Kelantan selain mengungguli Kejuaraan Piala AFF Bawah 19 tahun (B-19) 2018.
Hodak pernah menulis cerita mengecewakan JDT dua tahun lalu namun kali ini, mungkin Solari ada ‘skrip’ berbeza yang mahu ditempa selepas ‘tragedi’ di Stadium Nasional Bukit Jalil.
sumber:- BH
Adakah rekod sempurna Solari membawa JDT ke ‘kayangan’ akan dinoktahkan pada perlawanan ke-21 di tangan Hodak di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini?