sukan

Ramalan pengendali TFC Final JDT bertemu KL City FC

Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner meramalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu mempertahankan gelaran merangkul trofi Piala FA berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, beraksi di depan ‘lautan’ peminat setia selain rekod cemerlang skuad Harimau Selatan itu musim ini dalam saingan Liga Super, pasukan kendalian Esteban Solari itu dilihat tiada masalah untuk merangkul kejuaraan.

Bagaimanapun jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu berkata, jika anak buah Bojan Hodak beraksi sebagaimana dua musim lalu ketika menundukkan skuad JDT 2-0 dalam final Piala Malaysia, elemen kejutan tidak mustahil berulang lagi.

Pada final Piala FA musim lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Selatan berjaya menumpaskan TFC 3-1 hasil dua jaringan Bergson Da Silva dan Arif Aiman Mohd Hanapi manakala gol sagu hati TFC disumbat Kipre Tchetche.

“Atas kertas saya tetap meramalkan JDT mampu mempertahankan gelaran yang dimenangi pada musim lalu dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Bergson dan Fernando Forestieri.

“Faktornya beraksi di padang tuan rumah selain kualiti pemain skuad Harimau Selatan yang lebih baik pastinya bakal memihak kepada JDT.

“Namun saya fikir kali ini pengendali KL City FC, Bojan Hodak yang juga rakan senegara saya akan bermain sama seperti dua tahun lalu di final ketika mereka merangkul trofi Piala Malaysia, mereka dijangka akan memperkuatkan jentera pertahanan dan mencari peluang untuk melakukan serangan balas, itu juga dilakukan ketika berdepan TFC pada aksi separuh akhir.

“Jika mereka berjaya menyekat ia hanya seketika, tapi peluang mereka untuk memburu gelaran itu tetap ada, apa-apapun saya rasa JDT akan menang di tambah sokongan padu daripada peminat setia mereka selain rekod kedua-dua pasukan itu memihak kepada JDT dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya ketika dihubungi.

sumber:- HM

Pada aksi separuh akhir menentang TFC pada 25 Jun lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, skuad The City Boys itu mara ke pentas final hasil kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan sehingga masa tambahan terikat tanpa jaringan.