sukan

Pemain Malaysia jadi penonton Terbuka Korea Selatan

Cabaran Malaysia di Terbuka Korea berakhir selepas dua wakil terakhir negara terkandas di suku akhir, hari ini.

Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang cuba bangkit di set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan akhirnya terpaksa akur tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 9-21, 21-23 pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam di Yeosu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata sikap kurang sabar Izzuddin-Sze Fei ketika mendahului 16-10 di set kedua mengakibatkan mereka gagal untuk sekurang-kurangnya mengheret aksi ke set penentuan.

“Set pertama mereka bermain mengikut rentak permainan lawan. Mereka juga hilang keyakinan apabila gagal bertahan dengan baik.”Namun, memasuki set kedua, mereka sudah bermain dengan betul tetapi ketika mendahului 16-10, mereka tukar corak permainan dan membuatkan Fajar-Rian dapat mengutip mata 13-16, 14-16. Waktu itu mereka sudah mulai tidak tenang dan ia sayang sekali.

“Kalau ketika mendahului 16-10 itu mereka lebih bersabar, saya percaya mereka boleh heret perlawanan ke set ketiga,” kata Rexy.

Terbuka Korea adalah kejohanan kedua buat Izzuddin-Sze Fei sejak mereka kembali ‘rujuk’ selepas berpisah pada Januari lalu.

Minggu lalu, Izzuddin-Sze Fei berjaya menjuarai saingan Terbuka Amerika Syarikat.

Pasangan ranking ke-46 dunia itu kini mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun di Tokyo dari 25 hingga 30 Julai ini.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memberikan tentangan sengit kepada bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew sebelum terpaksa akur tewas 20-22, 19-21.

Dia berpeluang menebus kekalahan di tangan Kean Yew apabila mereka sekali lagi dijadual bertemu di pusingan pertama Terbuka Jepun.

sumber:- BH

Tze Yong sebelum ini pernah sekali menewaskan lawan berkenaan ketika saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022.