sukan

Jika diberi peluang bermain, saya akan kunci nombor 10

“Jika diberi peluang bermain, saya akan cuba kunci nombor 10 (Leandro Velazquez) supaya JDT (Johor Darul Ta’zim) tak dapat bergerak”.

Itu azam pemain tengah bertahan Kuala Lumpur City FC (KL City), Akram Mahinan yang bersedia merantai pergerakan ligat dan pantas tonggak tengah JDT, Leandro Velazquez pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.

Kata Akram, pemain import kelahiran Buenos Aires, Argentina itu adalah nadi dan jantung kepada pasukan JDT yang bijak menggerakkan serangan ke kubu lawan.

Jelasnya, bagi menyekat skuad Harimau Selatan mendapatkan gol, gerakan Leandro perlu dihalang dan Akram mengakui kaedah sama pernah digunakan dalam final Piala Malaysia 2021 yang menyaksikan KL City berjaya menang 2-0 sekali gus muncul juara.

“Kalau dapat peluang bermain dalam kesebelasan utama, saya perlu jaga no 10. Sebab dia bahaya, dan pergerakan dia lincah dan ligat.

“Saya pernah buat (rantai pergerakan Leandro) masa final Piala Malaysia (2021). Benda sama saya perlu buat lagi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

KL City kini dalam laluan mencipta satu lagi sejarah pada penampilan final ketiganya dalam tempoh tiga musim selepas menjuarai Piala Malaysia pada 2021, dan muncul naib juara Piala AFC musim lalu.

Untuk rekod, skuad The City Boys pernah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada 1993, 1994 serta 1999, dan kini berpeluang menamatkan badi selama 23 tahun itu.

Ditanya persiapan pasukan, Akram akui ‘mood’ rakan sepasukannya berada pada tahap optimum dan bersedia untuk beraksi di final itu.

sumber:- HM

“Alhamdulillah semua baik. Semua pemain pun bebas dari masalah kecederaan. Jadi kami sedia untuk final itu nanti,” katanya.