sukan

Bojan nafi berita menjelang aksi berdepan JDT

Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak menafikan berita tunggakan gaji tiga bulan akan menjejaskan tumpuan pemainnya untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam esok.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar dan hanya ada sedikit kelewatan namun ia tidak menjejaskan persiapan pasukan.

Malah, beliau menegaskan pemainnya bersikap profesional dan tampak bersemangat untuk beraksi pada final ketiga berturut-turut mereka dalam tempoh tiga tahun.

“Tidak benar. Ada sedikit kelewatan sahaja dan tidak menjejaskan langsung persiapan kami malah saya percaya mereka akan beri 100 peratus apabila beraksi.

“Bagi saya, pasukan JDT ketika ini adalah pasukan terbaik yang kita saksikan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka bukan sahaja dibarisi pemain import yang berkualiti, malah dipenuhi pemain tempatan yang bagus.

“Tambahan pula sepanjang 17 perlawanan Liga Super, JDT belum lagi tewas dan ini membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di Malaysia dan pasti tekanan terhadap pasukan itu berbanding kami yang turun selaku pasukan `underdog’.

“Tiada tekanan terhadap kami, selepas ramai yang menjangkakan JDT adalah calon pilihan bagi menjulang Piala FA. Saya cuma mengharapkan pemain dapat beraksi dengan baik dan tuah berpihak kepada kami untuk mengejutkan JDT,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Ditanya mengenai persediaan pasukan, Hodak berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik dengan lima tonggak yang tidak beraksi ketika tewas 1-6 kepada JDT pada aksi Liga Super, baru-baru ini bakal memperkuatkan semula pasukan.

Tanpa berselindung, Hodak mendedahkan skuad The City Boys akan beraksi secara kompak di posisi pertahanan bagi menutup segala ruang buat skuad kendalian Esteban Solari itu untuk mencipta peluang gol.

“Jika saya bermain secara terbuka, saya pasti menerima nasib sama seperti pertemuan terdahulu (tewas 1-6).

“Oleh itu, kita kena bijak dengan bermain secara bertahan bagi mematahkan gerakan lawan dan menunggu detik untuk menyerang balas. Apa yang penting pemain perlu tenang dan bermain dengan teratur,” ujarnya.

Ditanya mengenai pemainnya mampu menyesuaikan diri beraksi di padang rumput jenis ‘Zeon Zoysia’, Hodak berkata, hal itu tidak menjadi masalah namun ia memberi kelebihan buat pasukan tuan rumah.

“JDT pastinya adalah kelebihan kerana mereka kerap bermain di padang ini berbanding pasukan lawan. Sebab itu jika tanya saya, tidak adil bagi kami untuk beraksi di SSI dan bukannya di gelanggang berkecuali.

sumber:- BH

“Saya juga harap perlawanan itu dikendalikan pengadil yang tegas dan harapnya tidak ada yang bermain bunga api di luar bilik hotel pukul 3 pagi,” katanya secara berseloroh.