sukan

Tahniah Aaron-Wooi Yik

BEREGU badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 di Subang Jaya, Selangor sebentar tadi.

Pasangan itu melakar kejayaan membanggakan setelah mengungguli Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo pada Ogos tahun lalu.

Aaron-Wooi Yik menewaskan gandingan Indonesia yang digelar The Daddies, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final 21-19, 21-14.

Pencapaian tersebut menjadi sejarah baharu dalam arena badminton negara apabila menjadi pemain pertama Malaysia yang berjaya menggondol gelaran dunia.

Anugerah ini membuatkan kami lebih bermotivasi dan akan berusaha lagi untuk mengharumkan nama negara.Kami mahu membanggakan Malaysia dengan lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Terima kasih kepada semua yang sokong kami KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) terutama presiden, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,” katanya.

Mereka bagaimanapun tidak hadir pada majlis itu kerana berada di Yeosu menyertai Terbuka Korea bermula pada Selasa.Aaron dan Wooi Yik mengenepikan cabaran Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah atau ‘Mike’, juara fizik atlet 167 sentimeter dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket Disember tahun lalu.

Calon lain ialah pemenang pingat emas angkat berat Sukan Komanwel Birmingham pada Julai tahun lalu, Aznil Bidin (61 kilogram) dan Aniq Kasdan (55 kg).

Berkenan menyampaikan anugerah kepada pemenang ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pemenang gelaran itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM20,000.

Dalam pada itu, anugerah Olahragawati Kebangsaan menjadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee yang bakal mencecah usia 18 tahun Disember depan.

“Saya tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini,” katanya.

Pemilihan Joe Ee berdasarkan pencapaiannya memenangi dua pingat emas pada Sukan Komanwel di Birmingham tahun lalu.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu muncul satu-satunya atlet dari kontinjen negara memenangi lebih satu pingat emas pada temasya tersebut selepas mengungguli acara aparatus individu Bola dan Riben.

“Saya terlalu gembira dengan pengiktirafan ini, ia benar-benar satu kejutan.

“Ramai atlet cemerlang di negara kita dan tidak sangka saya salah seorang daripada mereka.

“Anugerah ini mendorong saya untuk bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik buat Malaysia,” katanya.

Calon lain bagi anugerah olahragawati ialah pemenang pingat perak acara tiga meter (m) papan anjal individu wanita Sukan Komanwel Birmingham, Nur Dhabitah Sabri dan seorang lagi penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong.

Pandelela adalah Olahragawati Kebangsaan empat kali termasuk 2021 dan meraih tempat keenam platform 10m Piala Dunia Fina di Berlin, Oktober lalu.

Turut berada dalam senarai ialah Nur Ain Syuhada Mohd Asri yang meraih pingat gangsa perseorangan Kejohanan Petanque Dunia di Karslunde, Denmark Mei lalu.

Nur Amisha Azrilrizal pula membawa gelaran kelas 51 kg bawah 23 tahun Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok.

sumber:- SH

ASN 2021 yang berlangsung di MSN, Bukit Jalil pada 31 Januari lalu, menobatkan Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Pandelela sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.