Bekas pemain Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar mempunyai tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi untuk menabur bakti dalam arena bola sepak negara bersama pasukan Liga Super.
Hal ini kerana, menurut jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah, prestasi bekas pemain kebangsaan berusia 35 tahun itu ketika ini bukanlah teruk atau sudah ‘berkarat’.
Sebaliknya, prestasi Baddrol bersama Sabah FC masih baik dan mampu bersaing dengan pemain muda apabila merekodkan 12 penampilan menerusi empat gol dan tiga bantuan jaringan.
Katanya, sememangnya satu kerugian apabila pemain yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu memilih untuk terjun dalam bidang politik berdasarkan kepada ‘bintangnya’ dalam arena bola sepak negara masih lagi bergemerlapan sekali gus masih mampu beraksi cemerlang bersama pasukan Liga Super.
“Saya boleh katakan agak sedih apabila bekas anak didik mengambil keputusan menggantung but dan terbabit dalam arena politik kerana dia masih lagi boleh beraksi untuk tempoh lima tahun lagi.
“Lihat aksinya bersama Sabah FC sudah cukup menggambarkan dia antara watak penting dalam membantu pasukan meraih kejayaan positif.
“Namun, kita perlu hormati keputusan Baddrol kerana dia lebih tahu apa terbaik untuk dirinya. Saya harap dia sentiasa berjaya dalam apa jua bidang diceburinya,”katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Baddrol kemungkinan besar akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Walaupun ketika ini tiada pihak yang membuat pengumuman rasmi berkaitan perkara itu namun menurut sumber dalaman PN memaklumkan bahawa bekas pemain kebangsaan itu akan mewakili parti berkenaan untuk bertanding pada bulan depan.
sumber:- HM
Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemain berusia 35 tahun itu sebelum dia bersetuju untuk terjun dalam bidang politik dengan bertanding pada PRN.