sukan

KL City umum berita baik menjelang aksi Final berdepan JDT

Kuala Lumpur (KL) City FC hari ini menandatangani perjanjian bersama pasukan LaLiga, Cadiz CF dengan kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua kelab bola sepak itu.

Kerjasama itu termasuk peluang pasukan KL City FC ke Sepanyol untuk latihan pramusim di kemudahan sukan Cadiz CF dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan utama kelab Sepanyol itu.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard manakala Cadiz CF diwakili Pengarah Operasinya, Jose Luiz Donoso Alvarez, dan dipengerusikan oleh Adrian Prol Vazquez, yang juga wakil LaLiga di Malaysia.

Stanley menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang luar biasa bagi pasukannya mempelajari ilmu bola sepak daripada pasukan yang bersaing di salah satu liga terkemuka di dunia.

“Ini adalah manfaat yang bernilai dalam memberikan pendedahan kepada pemain dan jurulatih kami kepada program latihan dan kursus pengurusan bola sepak yang dianjurkan sama ada di Malaysia atau Sepanyol,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik bersama Cadiz CF, Ben Harburg, ketika diminta mengulas kerjasama itu berkata, beliau percaya ia adalah langkah pertama yang penting bagi memperkenalkan pasukannya dalam pasaran Malaysia.

“Kami tidak sabar untuk melihat pemain mereka bersama kami di Sepanyol dan pada waktu sama, kami berhasrat untuk membawa pasukan kami ke rantau Asia dalam waktu terdekat.

sumber:- HM

Cadiz CF berpusat di Cadiz iaitu bandar pelabuhan di bahagian barat daya Sepanyol yang dianggap antara bandar tertua di Eropah Barat.