sukan

KL City laung amaran menjelang Final berdepan JDT

Kuala Lumpur (KL) City melaungkan amaran awal bahawa skuad City Boys akan berusaha mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir Piala FA, Sabtu ini.

Skuad kendalian Bojan Hodak akan tampil selaku pasukan ‘underdog’ berdasarkan persembahan cemerlang dipamerkan Harimau Selatan selain aksi berkenaan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Apa yang menjadi keraguan terhadap KL City ketika ini adalah mengenai prestasi semasa mereka apabila tidak menang dalam empat aksi terkahir dalam Liga Super selain mara ke final Piala FA dengan kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas Terengganu.

Kapten KL City, Paulo Josue bagaimanapun menegaskan pasukannya akan memberikan cabaran terbaik terhadap JDT untuk cuba merebut kejuaraan Piala FA meskipun misi itu tampak sukar.

“Kami perlu memperbaiki prestasi semasa kami. Kami berdepan beberapa perlawanan dalam liga dan selepas ini kami juga akan mengharungi aksi final Piala FA dan saingan Piala Malaysia.

“Saya harap kami bersedia di final kerana ia perlawanan yang berbeza. JDT mempamerkan prestasi yang baik musim ini, tetapi kami perlu cuba yang terbaik.

sumber:- BH

“Kami profesional, dan akan cuba berjuang untuk meraih kejuaraan. Kami perlu beraksi dengan lebih baik dan cuba kejutkan JDT,” katanya.