sukan

Jual saja, jangan main tarik tali

Kemelut penjualan Kelantan FC memasuki ‘episod baharu’ apabila pemilik pasukan, Norizam Tukiman seakan menarik ‘brek tangan’ selepas dilihat tidak mahu menjual pasukan itu.

Meskipun pasukan itu diintai dua pihak yang sudahpun menyatakan minat untuk menjadi pemilik baharu namun Norizam menegaskan dia sedia untuk terus menerajui pasukan itu jika mendapat kepercayaan daripada penyokong.

Jadi, adakah Norizam akan terus mengemudi pasukan ataupun perubahan ‘nakhoda’ akan tetap berlaku ketika saingan Liga Super kini hanya berbaki kurang 10 perlawanan lagi?

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim melihat kemelut penjualan terbabit mencetuskan situasi ketidakpastian dalam pasukan yang jelas akan memberi kesan kepada semua pihak terbabit.

“Apabila jadi situasi tarik tali seperti ini, pemain, pegawai dan juga pelabur tampak berada dalam keadaan ketidaktentuan kerana tidak jelas apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Kalau pengurusan kekal, mungkin mereka sudah ada perancangan tersendiri. Kalau tukar pada pihak A, mereka pasti ada perancangan tersendiri juga dan begitu juga kalau diambil alih pihak B.

“Perkara seperti ini akan memberi kesan yang besar kepada perancangan untuk musim depan. Jadi isu ini patut dimuktamadkan secepat mungkin supaya ia dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Justeru, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu mengharapkan Norizam tegas dalam membuat keputusan dan tidak hanya bersandarkan kepada emosi semata-mata.

Jelasnya, Norizam perlu tetap dengan pendiriannya seperti sebelum ini yang mahu menjual pasukan itu kepada mana-mana pihak yang berminat sekiranya mendapat ‘amaun’ yang dimahukan.

“Sebagai ahli perniagaan yang berjaya, dia perlu tegas membuat keputusan dan kalau sudah ada jumlah yang difikirkan wajar, jadi jual sahajalah (Kelantan FC) seperti yang dinyatakan sebelum ini.

sumber:- BH

“Dia perlu membuat keputusan berdasarkan fakta dan nombor bukan atas faktor emosi. Dia perlu tetapkan pendirian untuk lepaskan pasukan supaya boleh menumpukan perhatian kepada perniagaan lain,” katanya.