Jika pemain dan jurulatih Liga Super berhadapan masalah tunggakan gaji sudah pastinya ada tempat atau pihak yang akan memperjuangkan nasib mereka hingga masalah terbabit selesai.
Namun, lain pula nasib yang menimpa barisan pengadil Liga Malaysia apabila terdapat segelintir daripada mereka berhadapan isu tunggakan elaun sejak dua tahun lalu namun hingga kini masalah terbabit tidak diselesaikan.
Menurut seorang pengadil yang enggan mendedahkan identiti kepada Arena Metro memaklumkan bahawa penyakit tunggakan elaun melanda pengadil Liga Malaysia malah isu turut membabitkan saingan tertinggi iaitu Liga Super.
Beliau berkata, lebih perit lagi adalah membabitkan perlawanan Liga M3 dan saingan liga di bawah kendalian Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) apabila didakwa tunggakan elaun sudah berlarutan hingga dua tahun.
Katanya, situasi terbabit menyebabkan pengadil muda yang pada peringkat awal sudah berhempas pulas memberikan komitmen tinggi pada setiap perlawanan mula hilang semangat untuk mengadili perlawanan Liga Malaysia kerana masalah pembayaran elaun.
Tunggakan elaun pengadil sudah disuarakan sejak dahulu lagi namun sehingga kini tiada penyelesaian daripada pihak tertentu untuk membuat pembayaran.
“Situasi berkenaan turut melanda membabitkan beberapa perlawanan Liga Super dan lebih buruk melanda saingan di Liga M3.
“Malah, untuk saingan Liga KLFA pula, kami tidak sudah tidak mendapat bayaran sejak dua tahun lalu sehingga jumlah sebenar tunggakan pun tidak diketahui,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, barisan pengadil tidak berhadapan masalah jika terpaksa menunggu dua atau tiga bulan untuk mendapat bayaran elaun kerana mengakui perlu menghantar tuntutan terlebih dahulu kepada pihak tertentu.
“Namun, jika berlanjutan hampir setengah tahun menyebabkan kami pun akan jadi sesak kerana perlu memikirkan perbelanjaan seperti tol dan minyak kereta untuk ke venue perlawanan.
“Apa yang diharapkan supaya pihak tertentu seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan persatuan bola sepak negeri menyelesaikan isu elaun pengadil supaya tidak menganiayai mereka kelak,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa ketika dihubungi mengakui terdapat tunggakan membabitkan pembayaran elaun pengadil namun akan menyelesaikannya pada awal Ogos ini.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa tunggakan bayaran elaun pengadil sehingga dua tahun seperti didakwa pihak berkenaan.
“Mula liga kita akan bayar semua pengadil kerana sekarang kita pentingkan pasukan. Bayaran tidak banyak pun…sekarang ini bila mula liga dalam awal Ogos akan selesai semua.
sumber:- HM
“Dua tahun tunggakan elaun adalah bohong dan jangan buat fitnah kerana kita boleh saman kerana tidak betul.”Jika diikutkan sekarang ini semua perlawanan liga bawah KLFA kita bayar tunai. Cuma ada masalah pada tahun lalu saja,” katanya.