Faktor Utama Kedah pulang dengan senyuman

Persembahan yang lebih baik pada babak kedua jelas menjadi penyelamat kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila berjaya meninggalkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan tiga mata, malam tadi.

Situasi itu diakui pengendali skuad Kenari, Nafuzi Zain yang melihat perubahan rentak diperagakan selepas rehat membantu anak buahnya tampil dengan lebih baik sekali gus meraih kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC menerusi dua sepakan penalti.

“Pergerakan kita agak perlahan pada separuh masa pertama dan kita bermain dengan cara selamat. Pemain tidak mengambil risiko untuk pergi ke depan, hantaran ke depan dan juga kombinasi bahagian di bahagian atas.

“Kita tidaklah bermain dengan teruk cuma ia bukanlah tahap permainan kita dengan aksi yang begitu menarik dan intensiti yang agak perlahan.

“Tetapi kita mengubah sedikit rentak pada babak kedua dan kita mendapat beberapa peluang. Transisi serangan kita juga lebih cepat dan kita mendapat dua sepakan penalti.

“Kemenangan 2-0 ini sangat penting untuk kita dan tahniah juga kepada PDRM yang bermain dengan baik sehingga memberi kesukaran kepada kita,” katanya.

Terdahulu, kemenangan 2-0 dilakar KDA FC menyaksikan mereka berjaya melunaskan dendam di atas kekalahan tipis 1-0 di tangan PDRM FC pada aksi di laman sendiri, Mac lalu.

sumber:- BH

Mereka mendapat penalti pertama pada minit ke-81 yang disempurnakan penyerang baharu mereka, Ifedayo Olusegun sebelum sekali lagi mendapat penalti pada minit ke-89 yang disudahkan Lee Tuck.