sukan

Terbukti JDT sebenarnya tidak kebal

Siapa kata Johor Darul Ta’zim (JDT) kebal apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengenakan hukuman kepada pasukan terbabit berjumlah RM120,000.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa hukuman terbabit adalah susulan tindakan penyokong Harimau Selatan menyalakan suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Katanya, walaupun keputusan terbabit tidak dihebahkan namun surat hukuman denda bagi kesalahan itu sebenarnya sudah dihantar ke JDT pada 31 Mei lalu.

Beliau berkata, ia bagi memaklumkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei lalu.

“Bagi perlawanan Liga Super, JDT menentang Sabah pada 31 Mac lalu, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana kelab itu didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super, JDT melawan Kedah Darul Aman pada 9 April, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Sementara bagi perlawanan Piala FA, JDT menentang PDRM pada 14 April lalu, JDT didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” katanya.

Selain itu, Noor Azman berharap dengan pengumuman itu dapat memberi penjelasan kepada umum tindakan dan hukuman sudah diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.

sumber:- HM

“Adalah sekarang menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat,” katanya.