sukan

Anak Jati TFC sedia turun aksi sulung

Pemain sayap, Nor Hakim Hassan akui tidak sabar untuk membuat penampilan pertama bersama Terengganu FC (TFC) pada musim ini.

Malah bekas pemain Selangor FC itu juga berazam untuk membalas kepercayaan pihak pengurusan dan jurulatih pasukan baharunya itu yang memberikan peluang kepadanya untuk membarisi skuad TFC pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula 5 Julai.

Jelas pemain kelahiran Terengganu itu, kekalahan pasukannya kepada skuad Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir Piala FA sebelum ini membangkitkan lagi semangatnya untuk membalas dendam kekalahan itu.

Skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ bakal berdepan dengan KL City FC pada aksi ke-16 Liga Super Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

“Sejujurnya saya sudah tidak sabar untuk turun beraksi bersama pasukan negeri kelahiran lebih-lebih lagi kali terakhir menyarung jersi pasukan Terengganu sembilan tahun lalu sebelum berhijrah bersama pasukan kelab T-Team, Perak dan Selangor.

“Sekiranya diturunkan, sudah pasti saya mahu membantu pasukan untuk memburu kemenangan dalam penampilan pertama saya apatah lagi rakan sepasukan juga tekad untuk membalas dendam kekalahan kepada skuad itu pada aksi Piala FA.

“Namun ianya terserah kepada Tommy untuk menentukan sama ada saya disenaraikan dalam pasukan ataupun sebaliknya,” kata pemain berusia 32 tahun itu yang juga mampu beraksi di posisi serangan.

sumber:- HM

Dalam pada itu skuad Penyu bakal hilang nakhodanya, Habib Haroon selepas kapten kelahiran Bahrain itu mengalami kecederaan.