sukan

Turut minat beli Kelantan FC

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan sebagai individu yang turut berminat untuk mengambil alih kelab itu.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham memaklumkan Erfan yang juga salah satu penaja Kelantan FC musim ini sudah mengemukakan surat kepada pihaknya.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Erfan akan bersaing dengan usaha kosmetik, Datuk Seri Vida yang lebih awal menyatakan minat untuk mengambil alih The Red Warriors (TRW).

“Saya ada terima dua tawaran untuk ambil alih Kelantan FC, namun ia hanya perjumpaan awal untuk tunjuk minat sebelum langkah seterusnya.

“Yang minat adalah Datuk Seri Vida dan salah satu penaja Kelantan FC musim ini, saudara Erfan Akif Ruslan iaitu pemilik Erfan Gym & Fitness.

“Insya-Allah selepas pendaftaran pemain baru Kelantan FC minggu ini dan ada kelapangan saya atau wakil akan berjumpa dengan Datuk Seri Vida dan saudara Erfan Akif.

“Saya akan maklumkan hal ini pada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan belum putuskan apa-apa lagi. Saya masih kekal pemegang saham terbesar dalam Kelantan FC.

“Mana yang terbaik dan menang-menang saya akan putuskan dan maklumkan pada semua,” kata Zamsaham di laman Facebook miliknya.

Semalam, BH Sukan melaporkan Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman perlu memasuki gelanggang ‘pertarungan’ dalam usaha untuk mengambil alih pengurusan Kelantan FC.

sumber:- BH

Ia selepas Zamsaham mendedahkan bahawa terdapat seorang lagi usahawan dari Kelantan yang berminat untuk mengambil alih kelab Pantai Timur itu.