sukan

Choi Moon-sik berjaya ‘kalahkan’ Kelantan kes tuntutan

Jika ada anugerah kelab paling malang pada musim ini sudah pastinya dimenangi Kelantan FC.Ini susulan perkhabaran terbaharu nasib tidak menyebelahi Kelantan FC apabila bekas ketua jurulatih Choi Moon-sik berjaya memenangi kes tuntutan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) ke atas pasukan itu.

Situasi terbabit dikongsi ejen Moon-sik iaitu Myeongho Jeong menerusi laman Instagram sambil mendedahkan beliau akan mengambil tindakan lanjut selepas keputusan Fifa memihak kepada mereka.

Walaupun tidak menyatakan secara terperinci berkaitan keputusan itu namun ia memberi petanda kantung Kelantan FC mungkin ‘kopak’ lagi apabila perlu membayar sejumlah wang kepada Moon-sik.

“Terima kasih Fifa,” kata Leo Jeong ringkat di laman Instagramnya. Terdahulu, ‘perang’ antara Jeong dan Kelantan FC bermula selepas Jeong membuat beberapa dakwaan mengenai apa yang berlaku ketika Moon Sik mengendalikan skuad The Red Warriors (TRW).

Namun Kelantan FC ‘membalas’ apabila mereka mempertimbangkan untuk mengambil tindakan perundangan bersesuaian terhadap Jeong.

Ia berpunca daripada beberapa dakwaan dibuat Jeong terhadap pengurusan TRW sambil menjelaskan tuduhan terbabit jelas fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi kelab itu.

Mengikut rekod, Kelantan FC boleh dikatakan kelab paling banyak dilanda ‘musibah’ pada musim ini apabila turut terpalit dengan isu gaji dan sekatan perpindahan pemain.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan ini ekoran kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji dua bekas pemain sebelum ini, Nik Akif Syahiran dan Shahrul Nizam Ros Hasni.

sumber:- HM

Berikutan masalah melanda itu, hampir empat pemain import meninggalkan Kelantan FC atas persetujuan bersama antaranya Miguel Cifuentes, Mario Aques, Ismahil Akinade dan Nuha Marong.