Hala tuju bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi, dalam usaha mengembangkan karier bola sepaknya selayaknya ditentukan oleh majikannya, iaitu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata ini kerana sebagai pemain profesional, mereka tertakluk kepada kontrak dan perancangan sesebuah pasukan yang sudah pasti mempunyai misi serta strategi mereka tersendiri.
Sambil menghargai pelbagai pandangan mengenai hala tuju pemain berusia 22 tahun itu, dia berharap agar keputusan yang dibuat Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dihargai dan dihormati.
Arif Aiman seorang pemain berbakat. Pokok pangkalnya bagi menghormati kontrak dan sebagai pemain profesional, penentuan masa depan pemain itu biarlah diputuskan oleh TMJ.
“TMJ tahu apa nak buat. Nak cari peluang buat kelab dan pemain. Bola sepak adalah satu bisnes. Segala-galanya terserah kepada TMJ,” katanya.
Sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, mencadangkan agar Arif Aiman berkelana ke negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengembangkan bakatnya.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, pula menganggap Jepun atau Korea Selatan merupakan destinasi lebih baik buat Arif Aiman jika dia berhasrat beraksi di luar negara.
Begitupun, baik Safee mahupun Effendi Jagan, mereka percaya Arif Aiman masih berada di landasan tepat untuk terus menjadi seorang pemain yang berkualiti berdasarkan asuhan yang cukup lengkap diterimanya di JDT.
Menurut Azraai, kualiti permainan yang dimiliki oleh Arif Aiman ketika ini adalah hasil program pembangunan efektif dan corak latihan bermutu oleh pengurusan terbaik JDT yang diterajui TMJ.
“Siapa Arif Aiman hari ini tanpa TMJ dan JDT. Dia dikelilingi oleh persekitaran yang positif, sikap rakan sepasukan yang berdaya saing. Ramai pemain berpengalaman membantunya.
“Pemain perlu bersaing sesama sendiri untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Apa yang dipraktiskan dalam latihan, itu yang diterjemahkan dalam padang.
sumber:- SA
“Corak latihan mereka berintensiti tinggi. Lihat Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad mampu beraksi cemerlang dalam skuad kebangsaan biarpun tiada dalam kesebelasan utama JDT,” ujarnya lagi.