tempatan

Tan Cheng Hoe luah rasa tidak puas hati

Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun meraih kemenangan 2-1 berdepan Kuching City pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu menjelaskan pemainnya tampak terlalu selesa hingga hilang fokus terutama selepas mendahului dua gol menerusi jaringan Ayron del Valle dan Yohandry Orozco.

Katanya, situasi itu memberi ruang kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim untuk melakukan banyak gerakan berbahaya dan berjaya mendapatkan jaringan.

“Memang nampak saat mendahului 2-0, kami agak selesa dan tak dapat kawal permainan dengan baik. Paling penting kami dapat tiga mata walaupun dibolosi.

“Saya berasa rata-rata pemain pun kecewa tetapi kami kena positif yang mana tiga mata ini meletakkan kami di kedudukan yang baik dalam liga.

“Saya kurang berpuas hati kerana disebabkan permainan kami lebih perlahan selepas mendahului. Dalam bola sepak kita tidak boleh beri keyakinan kepada lawan apabila kami banyak hilang bola dan sudah pasti lawan akan ambil peluang untuk jaringkan gol,” katanya.

Kemenangan ke-11 daripada 15 perlawanan itu menyaksikan Selangor mengumpul 34 mata untuk terus kekal di kedudukan kedua liga.

Kuching City pula terus berada dalam kelompok bawahan apabila hanya mengumpul enam mata dan menghuni tangga ke-12.

Sementara itu, Irfan mengakui tugasan membimbing Kuching City musim ini paling mencabar dalam kariernya sebagai jurulatih dengan skuad itu hanya menang sekali dan tewas 10 daripada 14 perlawanan dalam liga.

sumber:- BH

“Tak pernah dalam sejarah saya hadapi kekalahan demi kekalahan seperti ini, selepas ini kami tak boleh lagi kalah sama ada di tempat sendiri atau gelanggang lawan,” katanya.