Presiden Barcelona, Joan Laporta mengesahkan yang Lionel Messi masih menerima bayaran daripada kelab Catalan itu, walaupun sudah meninggalkan Camp Nou dua tahun lalu.
Laporta mendedahkan jumlah bayaran tertunggak kepada bintang Argentina itu yang meninggalkan Barca pada tahun 2021 selepas kontraknya tamat.
“Kami masih berhutang bayaran gaji tertangguh yang dipersetujui dengan lembaga pengarah kelab sebelum ini.
“Bayaran ini akan selesai sehingga penghujung tahun 2025. Kami membayar semuanya dengan teratur,” kata Laporta.
Messi antara pemain yang bersetuju menangguhkan pembayaran gaji mereka bagi meringankan beban kewangan kelab.
Pada November 2020, Barcelona mengumumkan pemain-pemain bersetuju menangguhkan pembayaran gaji mereka bagi menjimatkan perbelanjaan kelab sehingga 172 juta euro (RM879.44 juta). – AGENSI