sukan

Liverpool sah bawa bintang baharu

Liverpool menandatangani pemain tengah Hungary, Dominik Szoboszlai dari kelab Bundesliga, RB Leipzig, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu tiba di Anfield selepas media British melaporkan Liverpool membayar 70 juta euro (RM356.52 juta) bagi menebus kontraknya.

Szoboszlai menjadi pemain kedua dibeli kelab itu di bawah pengarah sukan baharu, Jorg Schmadtke selepas pemain Argentina, Alexis Mac Allister ketika Liverpool cuba mengubah bahagian tengah berikutan musim yang mengecewakan.

“Tiga atau empat hari yang berlalu terlalu panjang, ia bukan mudah. Tetapi akhirnya saya di sini, saya gembira dan tidak sabar untuk bermula,” kata Szoboszlai dalam satu kenyataan.

“Kelab yang benar-benar bersejarah, pemain yang sangat bagus, jurulatih yang bagus, semuanya bagus. Bagi saya ia adalah sempurna untuk melakukan langkah seterusnya dalam kelab seperti ini. Penyokong, stadium, semuanya bagus.” – REUTERS